Monday, February 11, 2008

Akhirnya Blog ini boleh beroperasi semula...

ALHAMDULILLAH....selepas lebih sebulan barulah blog ini di 'unlocked' semula. Lama tu. Dan hari tu bila blog ini di 'locked' saya tidak punya pilihan melainkan membuka blog yang baru. Jadi saya fikir kalau ada rakan dan teman yang pernah berkunjung ke sini, silalah ke blog baru saya tu di :-

www.eastlam.blogspot.com

Bukan apa malas pulak nak 'patah balik' ke sini. Bak kata orang perjalanan perlu di teruskan. Mana ke tahu kalau satu hari nanti blog baru tu pulak buat hal, saya patah balik jugak lah guna sampan lama ni.
Tak gitu...

Tuesday, December 18, 2007

Berita Pilihan : Tuduhan ke atas Hindraf dikaji, Batu Burok diketepi : PM pilih kasih?


KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - "Dato' Seri Samy Vellu telah menyampaikan kepada saya permohonan ibu bapa pemuda seramai 31 orang agar anak mereka tidak ditahan serta dibebaskan dari tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis semasa demonstrasi Hindraf di Batu Caves tempoh hari.

"Mereka juga sudah insaf serta berjanji tidak mahu lagi ikut serta mana-mana perhimpunan Hindraf di masa akan datang kerana selama ini mereka telah terpedaya. Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan keatas mereka."

Begitulah antara petikan dan ungkapan yang dianggap sebagai 'pilih kasih' daripada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan di berita TV 15 Disember lalu.
Kenyataan Abdullah mengundang pelbagai persoalan dan pertikaian ramai pihak dan masyarakat khususnya pemerhati politik dengan pendekatan beliau dalam menangani krisis yang berlaku.

Dua perkara bersabit yang menyebabkan dibangkitkan, pertama Abdullah sendiri meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf, seolah-olah membuktikan PM sudah 'memperalat', 'memperkudakan' dan mempengaruhi sistem badan kehakiman.

Secara tidak langsung membayangkan Abdullah berkuasa sama ada mahu mengekalkan tuduhan atau membebaskan siapa sahaja dengan berselindung di sebalik kuasa eksekutiff sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib pernah menyatakan tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang.

Implikasi kedua, dalam insiden Batu Burok, Trengganu yang hampir serupa tetapi sedikit berbeza, dua mangsa keganasan dan tembakan peluru hidup Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38, dituduh cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar sedangkan tubuh mereka berdua ditembusi peluru namun terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana tidak dibenarkan ikat jamin.

Jauh sekali untuk mendengar sama sekali Perdana Menteri berkata :"Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan ke atas mereka."

Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut berkata, beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.

Kamal Amir yang menulis di Malaysia Today juga berpendapat kenyataan Abdullah (yang membela dan percaya 31 demostarn itu insaf) boleh diseret kemuka pengadilan atas tuduhan "menghina mahkamah" kerana mengeluarkan kenyataan berpihak "subjudice" sebelum mahkamah memulakan prosiding dan membuat keputusan.

"Kalau benarpun mahu memenuhi permintaan Samy Vellu yang semakin ketandusan pengaruh dari masyarakat India kenapa tidak didiamkan sahaja tanpa diumumkan kepada khalayak," katanya yang dipetik daripada blog tersebut.

Dalam pada itu, seorang penganalisa politik berpendapat, penangkapan puluhan aktivis politik dalam isu Hindraf, Himpunan Bersih dan Batu Burok disifatkan sebagai langkah mempertahankan survival politik Abdullah dan tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti yang didakwa memandangkan Abdullah sendiri 'boleh berunding' dalam mengkaji semula pertuduhan mereka.

"Tindakan itu mestilah disusuli dengan mengkaji semula ataupun membebaskan semua yang terlibat dalam perhimpunan aman Bersih dan Batu Burok juga," katanya yang bersetuju dengan sikap Abdullah yang 'boleh bertolak ansur'.

Mengulas isu sama, dalam blog Roslan SMS turut membangkitkan persoalan mengapa Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan?

"Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang terperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!," kata Roslan dalam blognya.

"Bagaimana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?," katanya

Beliau dalam blog n32.blogspot.com menganggap Abdullah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 mereka yang terbabit dalam perhimpunan Hindraf. - mr -

Thursday, December 13, 2007

Jumpa Ustaz Ibrahim & Awang Bakar

SAYA antara yang dimaklumkan lebih awal oleh pihak keselamatan bangunan tempat saya bekerja apabila latihan kebakaran bersama Bomba berlangsung pagi ini. Saya tidak tahu siapa lagi yang telah dimaklumkan lebih awal kerana semua ‘yang telah tahu’ diminta tidak menghebahkannya kepada sesiapa.

Jadi saya pun duduklah di tepi ‘parking’ lot motorsikal di sebelah Bank Islam sementera menunggu kakitangan lain keluar daripada bangunan apabila loceng amaran kebakaran dibunyikan nanti sambil membaca risalah ringkas yang dibekalkan oleh isteri saya supaya di olah semula sempena program ‘Kem Remaja Solihah’ yang beliau turut jayakan hujung minggu ini.

Tiba-tiba ada seseorang menyapa dengan memberi salam. Eh , Ustaz Ibrahim! “Buat apa tu...”, tanya beliau. Kami pun bersembang dan saling bertanya khabar selepas saya fikir begitu lama tidak bersua dengan beliau.

Saya tidaklah begitu rapat dengannya tetapi agak biasa bertembung di majlis-majlis ceramah atau surau terutama waktu saya tinggal di Selayang dulu. Saya juga pernah beberapa kali menjemput beliau dalam program ceramah tengahari di surau tempat saya bekerja dahulu.

Ustaz gedebe! kata sahabat saya Ab Rahhim. Itulah ‘trade mark’ Ustaz Ibrahim. Mungkin beliau suka guna perkataan ‘gedebe’ dalam ceramahnya maka beliau lebih dikenali sebagai ‘ustaz gedebe’.

“Ana sebenarnya tengah tunggu Akhi Awang Bakar, pasal nak serahkan satu bungkusan buku”, terang Ustaz Ibrahim. Rezeki saya lah hari ni, detik hati saya bila dengar yang Awang Bakar akan ‘turun’ sebentar lagi.

Sebab saya pun lama tak bersua dan bersembang dengan Awang Bakar walaupun beliau bekerja di bangunan sebelah sahaja dengan pejabat saya.

Hari ni saya berpeluang bersua dengan 2 orang sahabat yang giat dalam dakwah dan perjuangan, detik hati saya lagi. Aura pendakwah dan pejuang memang mendamaikan. Bahkan berbeda dengan wajah-wajah lain. Saya bila bersua sahabat-sahabat lama memang selalu ‘mencuri-curi’ menatap wajah mereka. Sukar untuk dinukilkan. Ada sesuatu di wajah itu.

Selepas beberapa ketika terdengar ‘loceng kebakaran’ dibunyikan dan sejurus kemudian kakitangan daripada bangunan tempat saya bekerja berpusu-pusu keluar mengosongkan bangunan. Ustaz Ibrahim mohon untuk beredar dan kami bertiga pun bergerak meneruskan urusan masing-masing.

Awang Bakar sempat memberikan sebahagian naskah buku tulisan Ustaz Ibrahim untuk saya edarkan di pejabat. Buku tersebut berjudul “Mustajabnya Doa Menurut Sunnah Nabi saw” . Buku ini ditulis oleh beliau sendiri, Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri.

Wednesday, December 12, 2007

Penyertaan masih dibuka...

Kem ini dianjurkan oleh Nisa' Hulu Selangor dengan kerjasama Surau Al Muhajirin, Bukit Beruntung. Klik gambar untuk maklumat lanjut.

Tuesday, December 11, 2007

First Hand Info

MALAM tadi saya dan keluarga ke Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar. Tujuan kami ke sana ialah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan penangkapan Tuan Hj Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS pada petang Ahad yang baru lalu. Ini adalah berikutan sehingga lewat petang tiada berita terkini dapat dikesan melalui internet maka saya tidak selesa untuk menunggu lebih lama lalu membawa keluarga ke Melewar bagi mendapatkan maklumat di sana.
Bila sampai di sana majlis telah pun bermula dan saya lihat Tuan Hj Mohamad Sabu juga telah ada. Ini bermakna beliau telah berjaya dibebaskan dengan ikat jamin.

Majlis ringkas itu di hebahkan lewat petang melalui harakahdaily untuk mengadakan solat hajat dan penerangan mengenai tangkapan Mohamad Sabu. Turut kelihatan dalam majlis itu ialah Ustaz Hj Ahmad Awang (Naib Presiden Pas), Dato’ Kamarudin Jaafar (Setiausaha Agong Pas), YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda), Ustaz Hj Hasan Shukri, Tn Hj Mahfoz Omar (Ketua Penerangan) dan Sdr Hj Anuar Tahir.

Walaupun tidak ramai yang hadir kerana majlis itu hanya dihebahkan di saat-saat akhir, namun turut kelihatan ialah sahabat saya Tuan Hj Ibrahim daripada Melaka! Juga kelihatan sahabat lama Sdr Mued.

Ini mengingatkan saya zaman kami bersama-sama di Selayang sekitar 10 atau 15 tahun yang lalu. Apabila ada sahaja musibah yang menimpa perjuangan atau ada berita gembira yang hendak dikongsi bersama oleh pimpinan, kami semua akan segera menuju ke Markaz Tarbiyyah di Melewar untuk mendapatkan ‘first hand info’ daripada sana. Kalau tidak ada ceramah kami akan dengar penjelasan daripada Ustaz Hj Hassan Shukri yang rumahnya bersebelahan Markaz. Itulah keprihatinan kami waktu itu.

Maklumat-maklumat terus daripada pimpinan inilah yang saya fikir menjadikan rakan-rakan seangkatan dengan kami di Selayang dahulu terus komited dalam perjuangan walaupun mungkin ramai juga yang tidak lagi di baris hadapan seperti saya.

Memang sahabat-sahabat yang rajin hadir mendengar penjelasan daripada pimpinan biasanya lebih matang bila mengemukakan hujjah dan pandangan. Bukan sahaja matang malah lebih selari dengan kehendak sebenar pimpinan. Sebab itu menurut pengalaman saya, kita akan mudah mengesan mereka yang ‘tidak minat’ ceramah ini bila berkesempatan bercakap, bersembang, berusrah atau bermesyuarat dengan mereka. Maklumat mereka ini biasanya bukan sahaja tidak matang dan tidak lengkap malah agak ‘lari’ daripada apa yang dimaksudkan oleh pimpinan. Saya ada menyimpan ‘senarai kes’ mengenai sahabat jenis ini.

Sebab itu saya menolak kalau ada penggerak jamaah berpandangan untuk meremehkan keperluan mendapatkan maklumat daripada menghadiri ceramah-ceramah umum. Bagi saya penggerak-penggerak jamaah sangat wajar melazimi ceramah-ceramah umum yang dianjurkan sama seperti mereka melazimi usrah atau mesyuarat.

Zaman kepesatan teknologi cyber sekarang ini menjadikan petugas jamaah wajar menambah info mereka dengan lebih kerap melayari http://www.harakahdaily.net/ dan http://www.tvpas.com/ sekurang-kurangnya. Itupun kalau mereka tidak mahu tercicir maklumat.